Isnin, September 29

Nilai C.I.N.T.A




Tatkala soal cinta diperdebatkan, pasti yang terpalit diingatan sebuah kebahagiaan. Cinta yang bermaksud keinginan di hati, kehendak didalam jiwa, berkata tentangnya orang merasa senang dan tenang juga tenteram, akhir dari cinta adalah bahagia.

Itulah definisi cinta yang boleh saya ungkapkan dengan kata.Dengan cinta segala-galanya berubah. Perasaan jadi tidak keruan, hati menjadi runsing jika tidak bersama dengan yang dicintainya, hati menjadi tidak menentu. Tatkala kita dihambat cemburu perasaan, hanyut di dalam api keinginan, kemanakah hala tuju cinta kita? Kepada siapa cinta itu disemai?

Tanda CInta

Tatkala seseorang berada dan hanyut dalam cintanya, ingatannya sentiasa pada si Dia, hatinya cemas mengharap redhanya, Akalnya tertumpu , ingat padanya.

Itulah tanda seseorang sedang bercinta.

Begitu jugalah kita memberi tanda pada cinta pada Allah. Tatkala hati kita redha dengan cinta Tuhan,hati akan sentiasa ingat padanya, akal akan ingat berfikir mencari-cari apakah yang boleh dibuat agar berjaya meraih cintaNYA. Badan dan anggota akan berusaha memberi bukti cinta kita pada Allah. Lidah akan sentiasa memujiNya, tidak lekang melainkan bercerita tentang Allah, apa yang disukai Allah.

Allah suka pada orang yang menyeru kepada kebaikan , maka mulut kita sentiasa menyeru manusia kepada kebaikan.

Allah suka pada manusia yang mencegah pada kemungkaran, maka dengan kuasa dan tenaga juga lidah yang ada padanya, dicegahnya manusia dari menghampiri keburukan.

Segala-galanya dilakukan di atas nama cinta. Dengan cinta, kasih Tuhan tidak bertepi, dengan cinta, Kasih Tuhan janjinya pasti dan dengan cinta, redha Tuhan meniti kehidupan.

Kuasa Cinta

Seorang suami, pulang lewat suatu hari. Isterinya setia menanti. Tetapi penantian malam itu membuatkan si isteri berkecil hati. Si suami mencari akal bagaimana akan dipujuk buah hatinya ini?

Segera didekati isterinya, dan dibisikkan di telinga isteri tercinta,

Sayang, tadi di pejabat, abang rasa sangat lapar. Abang cek poket abang,
ada 50 sen. Lepas tu, cek pulak dompet, tapi ada seringgit je. Masa tu, abang rasa
miskin sangat. Tapi lepas tu, abang terpandang gambar ayang kat dompet, abang
letak kat dada, rasa tenang dan abang rasa macam abang ni sangat kaya. Dua-dua
tu sebab abang ada ayang sebagai isteri. Itu yang membuatkan abang cepat-cepat
habiskan kerja dan terus balik. Nak makan dengan buah hati yang tercinta ni…”
Si isteri terus berasa terpujuk, dilangkahkan kakinya ke dapur memanaskan lauk-pauk yang dimasaknya tadi. Rasa bahagia meniti jiwanya.

Begitulah kuasa cinta, tatkala resah , sangat mudah dipujuk dengan kata-kata. Tatkala hilang pedoman, kata-kata dari yang dicintainya cukup membuatkan hati terpandu kembali.

Ketika kuasa cinta suami isteri berjaya menaikkan kembali harapan mereka, inikan pula cinta Tuhan yang pasti lebih tinggi dan lebih agung darinya. Dengan kata-kata Tuhan, hati jadi tenang, dengan kata-kata Tuhan, hati dipandu, dengan kata-kata Tuhan, harapan kembali pulih, semangat juga dikobarkan. Di dunia ini, kita dipandukan dengan kata-kata Tuhan yang tidak akan berubah sehingga hari perhitungan, itulah AlQuran. Selayaknya kita selalu bersama kata-kata Tuhan ini, kerana dengannya petunjuk kehidupan.

Semuanya di atas nama cinta. Mulialah mereka yang mencintai Tuhannya.

Gertakan CInta

Seorang isteri, sangat mencintai suaminya, cuma satu perkara ini, membuatkannya ingin tahu, sejauh mana cinta suaminya.

Abang, kalau abang taknak belajar solat, taknak cari majlis ilmu, taknak solat
jemaah, lebih baik abang ceraikan saya atau saya akan tuntut cerai dihadapan
Qadhi kerana abang tak tunjukkan teladan yang baik!!”


Hati si suami gementar. Pucat lesi tatkala perkataan cerai dihamburkan oleh isterinya. Sehari demi sehari, perubahan mula menampakkan hasil pada sang suami. Buku-buku agama mula menghiasi almari, kuliah-kuliah ilmu sudah mula dijadikan tempat menadah ilmu, asal ada majlis ilmu pasti dia akan ada disitu. Perasaan malas dibuang dari kamus hidupnya hanya disebabkan gertakan cinta dari seorang isteri yang inginkan kebaikan darinya.Ilmu dan amal terus dikejar. Siang harinya bekerja, malamnya dengan ilmu. Semuanya dilakukan atas nama cinta.

Begitulah kuasa cinta. Berupaya mengubah seseorang. Dengan cinta, semuanya tiada yang mustahil.

Pernahkah kita mendengar gertakan cinta dari Tuhan , Maha pencipta kepada kita? Tuhan yang sarat dengan cinta, kasih sayang kepada hamba-hambanya.

”Katakanlah, jika bapa-bapamu, anak-anakmu,saudara-saudaramu, isteri-isterimu,keluargamu, harta-hartamu, perniagaan yang kamu takut kehabisannya, dan tempat tinggal yang kamu redhainya lebih kamu cintai dari Allah dan rasulNYA dan berjihad di jalanNya, maka Tunggulah sehingga Allah mendatangkan urusannnya. Sesungguhnya Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada orang-orang yang fasik!!” Surah At-Taubah:24

Begitulah gertakan Tuhan pada hambanya yang mengaku cinta padaNYA. Perkataan “TUNGGULAH” itu sudah cukup menggentarkan hati-hati mereka yang beriman dan cinta padaNYA. Gertakan yang membuatkan hati sang pencinta resah dan gelisah. Apakah akan dilakukan pada diri ini jika cinta ini tidak benar dan palsu?

Hati menjadi tidak menentu. Yang pasti , hanyalah cuba sedaya upaya memuaskan Sang Pencipta, tempat tumpu cinta. Yang hadirnya cinta ini hanyalah untuknya, segalanya dibuat hanya keranaNYA.

Atas dasar cinta, segalanya diusahakan. Cinta pada keluarga, keluarga takkan terbina jika Allah tidak memberi restu padanya.

Cinta pada harta, harta takkan ada jika Allah tidak sebagai Pemberinya.

Segalanya datang dari Allah, Tuhan yang sarat dengan kasih sayang. Segalanya diberikan kepada kita.

Tatkala diminta ketabahan jiwa, diberikan ujian-ujian yang dengan ujiaan itu, hati menjadi semakin tabah. Tatkala diminta kekayaan, diberikan kesusahan-kesusahan yang dengannya dicari pintu-pintu kekayaan. Tatklala diminta perasaan ketenangan, diberikan keluarga yang dengannya hati rasa tenteram , hidup dalam berkasih sayang.

Maka , di atas nikmat Tuhan kita yang manakah yang menyebabkan kita mengenepikan Cinta Tuhan Semesta Alam?

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah apabila disebut Allah maka gementarlah hatinya, apabila dibacakannnya ayat-ayatnya, maka bertambahlah keimanannya,dan kepada Tuhan mereka bertawakkal”
( al-anfal:2 )

kredit kpd umaralfateh

Tiada ulasan: