Isnin, Mei 19

Mari Perkasakan Sabar




Jika engkau bersabar,
takdir itu berlaku juga ke atas dirimu,
tetapi engkau dikurniakan ganjaran pahala.
Jika engkau tidak sabar pun,
takdir tetap berlaku juga ke atas dirimu, dan engkau berdosa.


Perkataan sabar ini terlalu banyak diulang-ulang di dalam Quran dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Antara ayat-ayat yang menyarankan supaya bersabar dalam menempuh segala halangan, cabaran dan ujian adalah:Penjelasan Tuhan di dalam surah al-Baqarah ayat 153 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman mintalah pertolongan dengan sabar dan sembahyang, sesungguhnya Tuhan bersama-sama dengan orang-orang yang sabar.”


Tuhan menjelaskan lagi di dalam surah al-Zumar ayat 10 yang bermaksud, “Sesungguhnya Tuhan mengganjari mereka yang bersabar dengan ganjaran yang banyak dan tidak terhitung.”

Tuhan menerangkan di dalam surah al-Anfal ayat 66 yang bermaksud, “Sekarang Tuhan meringankan kepadamu dan dia sudah mengetahui padamu ada ke-lemahan. Sekiranya ada di antaramu seratus orang yang sabar, pasti mereka dapat mengalahkan dua ratus orang dan sekiranya di antaramu ada seribu orang (yang sabar), pasti mereka dapat mengalahkan dua ribu orang. Dan Tuhan bersama-sama orang-orang yang sabar.”

Manakala Tuhan menyatakan di dalam surah Ali Imran ayat 200 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran-mu dan bersedialah serta bertakwalah, supaya kamu berjaya mendapat kemenangan.”

Dalam ayat 200 surah Ali Imran di atas mengandungi empat formula mencapai kemenangan iaitu:

* Sabar: Antaranya sabar menahan nafsu, mengendalikan diri dan sebagainya.

* Memperkasakan sabar: Ini merupakan sabar tahap kedua seperti menerima perlian kawan, orang yang iri hati melihat rancangan menuju kejayaan dan sebagainya.

* Bersedia: Bersedia daripada pelbagai aspek dalam menempuhi cabaran dan kegagalan sebelum berjaya.

*Bertakwa: Takwa kepada Tuhan adalah kunci sebelum sabar, memperkasakan sabar dan bersedia.

Walaupun ayat ini berkisar mengenai perang tetapi formula ini sekiranya diaplikasikan dalam kehidupan seharian dan dalam mencapai matlamat, kita pasti merasai dan mengecapi kejayaan. Kemudian, ayat ini diakhiri dengan frasa yang menarik, “Supaya kamu berjaya mendapat kemenangan.”

Lawan sabar adalah mengeluh.

Ia adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana dengan mengeluh membuat semangat menjadi lemah. Mengeluh juga boleh menerbitkan perasaan kecewa dan putus asa. Sedangkan Tuhan menerang-kan di dalam Quran surah al-Insyirah ayat 6 yang bermaksud, “Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

Berhubung dengan ayat di sebelah, cuba kita kaitkan dengan peristiwa ini:

Lina putus cinta dengan kekasihnya, dia menangis, ber-kurung di dalam bilik berhari-hari, mengabaikan hal-hal berkaitan dirinya. Kemudian, selang beberapa hari, dia mendapat kekuatan, dia menghubungi kawan-kawan dan mengeratkan persahabatan. Dalam beberapa bulan, dia mendapat teman baru dan berkahwin. Mengimbas kembali, putus cinta dengan kekasihnya, menemukan dia dengan orang yang terbaik untuknya.

Hamdan dibuang kerja kerana syarikat hampir bankrap. Dia gagahi diri, membuka gerai makan kecil. Selepas dua tahun, gerai yang diusahakan itu dijadikan restoran. Beberapa tahun kemudian, dia mempunyai cawangan restoran. Hamdan menjadi bos malah membuka peluang pekerjaan kepada orang lain.

Kenapa Lina dan Hamdan berjaya? Kerana mereka sabar dan memperkasakan sabar dan bersedia menempuhi cabaran. Mereka membeli kesenangan dengan tiket kesusahan. Tanpa masalah ataupun ujian, tidak akan wujud kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik bagi menjamin kejayaan dalam kehidupan.


Sebagai renungan, “Hidup ini ibarat meniti seutas tali, kadangkala kita jatuh sakit dan terluka, hanya mereka yang melepasi ujian dengan sabar pasti berjaya.”

(Artikel ini dipetik dari buku : Positif untuk Berjaya Nur Hanani Hussin, Mohd Fadzilah Kamsah, Ahmad Zabidi Ab Razak, PTS Millennia Sdn Bhd )
Sumber: www.pts.com.my

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya dah baca dah buku tu. hehe

Tanpa Nama berkata...

sy pun dah baca buku tu. bagus dan patut dimiliki.