this post is copy paste from www.leokid.com
KEWAJIPAN MEMERANGI KEMUNGKARAN
Hadis utama yang menggariskan kewajipan ini adalah,
Dari Abi Sa’id al-Khudri r.a. ia mengatakan, ‘Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, ‘Siapa di antara kalian yang melihat kemungkaran maka ia harus mengubahnya dengan tangannya. Jika ia tidak mampu maka ia harus mengubahnya dengan lidahnya. Jika ia tidak mampu maka ia harus mengubahnya dengan hatinya. Dan itu adalah selemah-lemah iman.’” (H.R. Muslim)
Hadis ini menjelaskan kewajipan memerangi kemungkaran, yang terletak kepada semua pihak di semua peringkat. Kepada yang mempunyai kuasa, sama ada kuasa fizikal atau pengaruh politik, kuasa bersuara, mahupun hanya sekadar pada peringkat hati individu sendiri.
Apa kesannya jika tiada orang melaksanakan nahi mungkar?
Telah diceritakan oleh Rasulullah di dalam sebuah hadis,
“Perumpamaan orang-orang yang melaksanakan hukum-hukum Allah dengan orang-orang yang melanggarnya bagaikan sekelompok orang yang naik kapal. Lalu mereka melakukan undian untuk menentukan siapa yang duduk di bahagian atas dan siapa yang duduk di bahagian bawah (dek) kapal.
Orang-orang yang duduk di bahagian bawah itu harus naik ke atas jika mereka memerlukan air. Lalu salah seorang mengatakan, ‘Sebaiknya kita melubangkan tempat kita ini, supaya kita tidak mengganggu orang lain.’
Jika orang-orang yang ada di atas membiarkan mereka melaksanakan apa yang mereka inginkan, niscaya akan binasalah semuanya. Namun jika mereka membimbingnya, maka mereka yang ada di atas akan selamat dan selamat pula mereka yang ada di bawah.” (H.R. Bukhari)
Rasulullah memberikan analogi, bahawa pelaku kemungkaran ini bagaikan mereka yang berada di bawah kapal. Mereka ingin melubangkan kapal itu, kerana inginkan air dan tidak mahu menyusahkan orang di atas, menunjukkan mereka melakukan kemungkaran atas sebab tidak tahu. Tidak sengaja, dengan niat yang baik iaitu - tidak mahu mengganggu orang di atas.
Tapi apa terjadi sekiranya mereka buat seperti apa yang mereka rancangkan? Air akan melimpahi kapal dan habis tenggelamkan kapal tersebut, bersama orang-orang yang berada di atas.
Maka apa pencegahannya? Pencegahannya terletak kepada orang di atas sendiri. Sekiranya orang di atas, (bolehlah dianalogikan sebagai golongan-golongan alim dan pendakwah di dalam suatu komuniti), turut sama menolong membahagikan air minuman kepada mereka yang dibawah, nescaya, tidak terjadi sedemikian.
Banyak diceritakan di dalam alQuran, kisah kaum-kaum yang enggan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar, dan mereka semuanya dibinasakan habis oleh Allah. Sama ada yang melakukan kemungkaran, mahupun yang tidak melakukan apa-apa.
Imam Nawawi mengatakan, “Para ulama berpendapat bahawa amrun bil-ma’ruf wa nahyun ‘anil-mungkar bukanlah hanya kewajipan orang-orang yang mempunyai wilayah (kekuasaan) melainkan boleh juga dilakukan oleh kaum muslimin lainnya.” Maksudnya, usahlah menunggu sehingga diberikan kekuasaan atau pangkat, kerana seorang muslim yang biasa sahaja pun ada kewajipannya menghalang kemungkaran.
Namun begitu, dalam memerangi kemungkaran, juga terdapat syarat-syaratnya. Apa criteria individu yang mewajibkan seseorang itu melaksanakan nahi mungkar?
Menurut Syaikh Abdul Qadir Audah rahimahullah,
1. Orang yang mukallaf. Bermaksud, orang yang memahami, bebas dari tekanan, serta terkena kewajipan sepertimana yang digariskan dalam syara’.
2. Orang yang mengimani agama Islam. Semua orang yang mengaku dirinya beragama Islam, menjadi wajib baginya melaksanakan amar makruf nahi mungkar.
3. Memiliki kemampuan. Sepertimana yang dinyatakan dalam hadis di awal tadi, semua orang ada kemampuannya, berbeza-beza mengikut tahap dan pendapat.
Terdapat 2 syarat tambahan, namun syarat ini tidaklah disepakati sebagai syarat yang wajib ada, iaitu
1. Sifat Saleh, Taqwa dan Dipercayai. Sifat-sifat ini menjadi penghias kepada peribadi seorang muslim, yang sekaligus memudahkan beliau melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Namun, Sa’id bin Jubair juga ada menyatakan, “Jika amar ma’ruf dan nahi mungkar hanya dilakukan oleh orang yang sempurna segala sesuatunya, maka niscaya tidak akan ada seorang pun yang melakukannya.”
2. Diizinkan imam/pemimpin. Dalam keadaan di bawah pimpinan yang tidak mengikuti ajaran Islam sepenuhnya, ada ulama mengatakan wajib amar makruf nahi mungkar, sebagai ganti kepada tanggungjawab yang gagal dilaksanakan pemimpin tersebut.
Apa syaratnya perlaksanaan amar makruf nahi mungkar itu?
Pertama sekali, adalah apabila terjadinya kemungkaran. Kemungkaran adalah apa jua kemaksiatan yang dilarang di dalam Islam, sama ada sedikit mahupun banyak.
Keduanya adalah, kemungkaran yang wajib diperangi/dibanteras adalah kemungkaran yang bersifat qat’i (tegas, explicit) dinyatakan di dalam alQuran/asSunnah, ataupun ijma’ ulama.
Ketiga, kemungkaran tersebut adalah kemungkaran yang nampak jelas, tampak dilakukan secara terbuka. Bukan hasil dari tajassus (selidik-menyelidiki). Maksudnya, kita boleh nampak kemungkaran tersebut dengan jelas, dilakukan beramai-ramai, contohnya. Kemungkaran ini wajib kita banteras, kerana membawa kepada permasalahan ummat dan fitnah ke atas agama itu sendiri.
Bagaimana melaksanakan?
Para ulama mencadangkan, perlaksanaan nahi mungkar perlulah mengikut beberapa langkah:
Pertama, usahakan proses penyedaran dan pemahaman. Sebarkan maklumat dan panduan, mengapa ini dikatakan haram, mengapa ini dikatakan kemungkaran. Jelaskan agar mereka faham, apa yang dilakukan itu adalah salah disisi agama. Firman Allah,
Dan Allah sekali-kali tidak akan menyesatkan suatu kaum, sesudah Allah memberi petunjuk kepada mereka hingga dijelaskan-Nya kepada mereka apa yang harus mereka jauhi. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Q.S. At-Taubah 9: 115)
Kedua pula, adalah dengan menyampaikan nasihat berbentuk pengarahan. Katakan dengan lembut, jangan buat ini, jangan buat itu. Contohnya adalah akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah ketika menegur seorang pemuda yang ingin lakukan penzinaan, serta seperti baginda ketika menegur pemuda badwi yang kencing di dalam masjid.
Peringkat ketiga - Peringatan dengan keras berserta kecaman. Hal ini dilakukan jika teguran secara lembut itu tidak berhasil. Terdapat 2 syarat untuk peringatan secara keras/kecaman ini:
1. Memberikan kecaman hanya jika diperlukan, setelah nasihat/teguran secara halus tidak diterima atau tiada kesannya dalam menghalang kemungkaran tersebut.
2. Tidak mengeluarkan perkataan melainkan yang benar-benar sahaja. Biarpun kata-kata itu pahit untuk diterima, asalkan ianya benar serta sesuai dengan keperluan (tidak berlebih-lebihan atau membesar-besarkan)
Peringkat keempat dan kelima, tidaklah saya bercadang untuk mengulasnya di sini kerana ia akan memanjangkan tulisan saya sedangkan pokok pangkal tulisan saya masih belum pun tercapai. Untuk maklumat lanjut, boleh dilihat di link yang saya berikan di atas itu.
Mencegah kemungkaran
Sekadar ingin mengaitkan dengan fenomena yang terjadi di sini. Saya sebenarnya berat hati menulis perihal diri saya dan persekitaran saya di blog ini, kerana saya sudah ada sebuah blog khusus untuk tujuan itu. Namun melihat signifikasinya kepada pelawat-pelawat di luar sana, saya rasa adalah menjadi tanggungjawab saya mencuba sedaya upaya dalam usaha menghalang kemungkaran ini.
Dilema yang saya hadapi, saya yakin, turut dirasai oleh rakan-rakan sefikrah di tempat-tempat lain - hatta di Malaysia, Indonesia, Mesir UK dan sebagainya. Mungkin anda boleh berkongsi di ruangan komen, apa yang anda lakukan di tempat-tempat anda?
Situasinya mudah. Sebuah majlis keramaian, yang dikhuatiri menjadi fitnah kerana beberapa faktor yang menjadikannya terlarang di sisi Islam. Rumitnya lagi apabila majlis ini adalah majlis majmuk yang dihadiri oleh pelbagai bangsa dan agama. Pelbagai persoalan timbul di benak pemikiran saya - bagaimana Islam menggariskan perhubungan/sambutan perayaan yang terdiri daripada golongan dari pelbagai agama/kaum? Bagaimana persoalan niat menghalalkan cara boleh diatasi? Bagaimana usaha yang paling wajar untuk mencegahnya? Adakah meminimumkan kerosakan itu lebih baik, daripada membanteras secara total?
Saya sedar, usaha saya ini mungkin sekali tidak membuahkan hasil. Program yang dirancang, tetap akan dijalankan juga. Apalah sangat usaha seorang individu menjadi signifikan kepada hasil akhir yang diimpikan. Namun, bukan persoalan hasil yang bermain di fikiran saya. Cukuplah sekadar kefahaman disampaikan, dan tanggungjawab dilaksanakan. InshaAllah.
Kepada para pembaca, saya mohon agar tolong mendoakan kesejahteraan dan keselamatan akidah kepada kami di sini. Semoga kami dijauhkan dari murka Allah, atas kelemahan dan kegagalan kami menegakkan syiar Islam di bumi asing ini. Wallahua’lam.
any comments?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan